EURO 2020 Pemain bawa England ke separuh akhir tewaskan Ukraine 4-0

 

Harry Kane percaya pengalaman yang lebih baik dimiliki England di kejohanan besar membantu pasukan memperoleh kejayaan selepas meledak dua gol dalam perlawanan yang menyaksikan mereka membenam Ukraine 4-0 untuk mara ke separuh akhir Euro 2020.

Anak buah Gareth Southgate juga mempunyai sejarah mara ke pusingan empat terbaik di Piala Dunia 2018, namun tewas di tangan Croatia, 2-1.

Namun, Kane menjelaskan kejayaan pasukan Inggeris di kejohanan kelab teratas Eropah sejak tiga tahun lalu turut memainkan peranan bagi mengakhiri penantian 55 tahun untuk meraih kemenangan di kejohanan besar menjelang pertembungan separuh akhir dengan Denmark di Wembley, Rabu ini.

"Kami sudah bermain untuk kelab kami dalam perlawanan besar. Final Liga Juara-Juara, perebutan gelaran Liga Perdana. Tugas masih belum selesai, tetapi kami berada di landasan tepat," kata Kane. 

"Kami meletakkan visi sebelum Piala Dunia di mana kami mahu menjadi sebuah pasukan.

"Piala Dunia adalah sesuatu yang hebat, tetapi kami gagal, kami meraih satu lagi separuh akhir di Liga Negara-Negara dan kami perlu terus bergerak dan itu adalah perkara yang perlu dilakukan pada Rabu."

Kane sebelum ini dikritik atas prestasinya dalam peringkat kumpulan selepas hanya mampu melakukan satu percubaan tepat.

Namun, penyerang Tottenham Hotspur itu kini sudah mempunyai tiga gol dalam dua perlawanan terbarunya selepas meledak dua gol di Rom.

"Banyak yang diperkatakan mengenai saya dan prestasi saya, tetapi fokus saya sentiasa terhadap perlawanan seterusnya bagi mengepalai pasukan ini menuju ke final," kata kapten England itu.

"Terdapat banyak tekanan ke atas kami. Sudah tentu kami adalah pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, tetapi terdapat banyak tekanan dan harapan." 

Sumber : AFP

 

 

Post a Comment

0 Comments