Jerman perlu tiga trio berpengalaman

 

Legenda Jerman, Lothar Matthaus menyifatkan kekalahan besar 0-6 Jerman ketika menentang Sepanyol kelmarin adalah sebagai kegagalan total dan menggesa jurulatih, Joachim Low melakukan satu pelan segera.

Biarpun menggunakan khidmat penjaga gol paling berpengalaman, Manuel Neuer ia tidak menghalang Sepanyol berpesta gol menyebabkan Matthaus percaya khidmat tiga pemain berpengalaman yang disisihkan Low masih diperlukan.

Low sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Thomas Muller, Jerome Boateng dan Mats Hummels tidak lagi mendapat keistimewaan untuk sentiasa berada dalam skuad kebangsaan Jerman sebaliknya dinilai berdasarkan prestasi.

“Saya tidak pernah melihat aksi sebuah pasukan yang gagal secara keseluruhannya. Perbincangan mengenai Hummels dan Boateng terus berlangsung. Anda perlukan seorang ketua di dalam pasukan dan ia dikaitkan dengan Muller.

“Apa yang dilakukan oleh Sepanyol hanya membuatkan ramai yang sedar bahawa tiga pemain ini masih penting. Suara jeritan Muller di padang sudah tidak kita dengari tetapi saya tidak fikir Low akan mengubah pendiriannya mengenai ketiga-tiga pemain itu.

“Pada saya, pemain yang terbaik perlu bermain tetapi jika Low membawa masuk mereka semula, beliau perlu memberikan mereka sepenuh tanggungjawab,” katanya.

Selain Matthaus yang mengeluarkan pandangan sedemikian, seorang lagi bekas bintang Jerman, Mesut Ozil turut senada dengan idea tersebut.

Ozil dalam tulisannya di laman sosial menyebut bahawa Jerman perlu membawa masuk semula Boateng untuk memantapkan benteng pasukan itu. – AFP

Post a Comment

0 Comments